MENGAPAKAH GST? TIDAK HUDUD?


Kenapa GST dilaksanakan?
Kenapa harga minyak turun dan naik?
Kenapa Nilai Mata Wang Negara Jatuh atau Meningkat? 
Kenapa kerajaan begitu komited untuk langkah berjimat?

ARTIKEL INI ADALAH JAWAPAN KEPADA SEMUA PERSOALAN TERSEBUT, IA ADA KAITAN ANTARA SOALAN-SOALAN TERSEBUT, MOGA FAHAMI & SAMA-SAMA MEMBANTU.

Untuk memahami punca jatuh naik (appreciate/depreciate) sesuatu nilai mata wang, sewajarnya kita memahami terlebih dahulu konsep permintaan-pembekalan (demand-supply).

Mata wang diniagakan dalam pasaran tukaran mata wang asing (Foreign Exchange Market) dan turun naik nilainya bergantung pada tahap permintaan dan jumlahnya yang berada di dalam pasaran. Secara asasnya, semakin tinggi permintaan terhadap sesuatu mata wang, maka nilainya akan meningkat. Manakala, jika pemintaan terhadap sesuatu mata wang menurun atau ramai menjualnya sehingga berlaku lebihan di dalam pasaran, maka nilainya akan jatuh.

Apakah yang menyebabkan berlakunya peningkatan dan penurunan permintaan?
Faktor peningkatan:

1. Perkembangan sektor eksport Untuk mengimport barangan daripada sesebuah negara, perlu menggunakan mata wang negara tersebut. Negara yang produknya kompetitif di dalam persaingan eksport, nilai mata wangnya kukuh kerana permintaan terhadap mata wangnya tinggi.

2. Kadar bunga (interest) tinggi, Kadar bunga yang tinggi yang ditetapkan oleh bank negara menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menyimpan di dalam negara tersebut. Secara tidak langsung akan mengembangkan permintaan terhadap mata wangnya.

3. Peningkatan permintaan di dalam pasaran tukaran mata wang asingApabila sesuatu mata wang dijangka nilainya akan meningkat, biasanya akan membawa kepada pembelian mata wang negara tersebut oleh pemain pasaran dan seterusnya melonjakkan nilainya.

4. Kemasukan pelabur asing
Negara yang dilihat menjadi destinasi yang menarik untuk perlaburan, akan membawa kemasukan pelabur luar ke dalam negara (capital inflow). Mereka perlu membeli mata wang negara tersebut untuk terlibat di dalam perlaburan di negara tersebut.

5. Campur tangan bank negara, Terdapat negara yang sengaja merendahkan mata wangnya seperti yang dilakukan oleh China. Bank pusatnya akan membeli bon terbitan AS supaya mata wangnya akan menjadi lebih rendah daripada dollar. Tindakan ini dibuat supaya barangan lokalnya mampu kekal lebih murah dan mampu mengekalkan momentum persaingan di dalam pasaran eksport.

6. Kadar pengangguran rendah dan peningkatan pendapatan rakyat
Kadar pengangguran yang rendah dan tahap pendapatan rakyat yang tinggi meningkatkan permintaan wang di dalam pasaran domestik seterusnya meningkatkan nilai mata wang negara tersebut.

Faktor penurunan:

1. Kadar bunga yang rendah
Kadar bunga yang rendah akan mengurangkan tarikan yang ada untuk pelabur luar menyimpan di dalam sesuatu negara.

2. Peningkatan inflasi
Inflasi yang tinggi akan mengurangkan kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna di dalam sesebuah negara, seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kesannya, ekonomi negara tersebut di nilai sebagai lemah dan tidak stabil oleh pelabur asing.

3. Aktiviti spekulator
Tindakan spekulator di dalam pasaran tukaran mata wang asing menjual mata wang sesebuah negara dalam jumlah yang besar berupaya menyebabkan kekacauan dan ketakutan di kalangan pasaran saham.

4. Campur tangan kerajaan
Sepertimana yang pernah dilakukan oleh AS melalui tindakan Quantitative Easing. AS membeli bon terbitan negaranya sendiri dan secara tidak langsung mengwujudkan impresi permintaan yang tinggi terhadap dollar.

Faktor Kejatuhan Nilai Ringgit

Setelah kita memahami punca naik dan turunnya mata wang sesebuah negara, kita akan lebih mudah untuk mengenal pasti punca penguncupan nilai mata wang negara kita.

1. Penurunan ketara harga minyak dunia Mutakhir ini, harga minyak menah dunia telah mencatatkan sejarah apabila mencecah serendah 48 USD/setong pada 19 Januari yang lalu. Penurunan harga hampir 50% daripada harga tahun lalu yang setinggi USD100-115/setong telah menjejaskan pendapatan Malaysia yang merupakan negara pengeksport minyak mentah. Penghasilan minyak dunia yang meningkat disebabkan oleh kemajuan teknologi AS yang berupaya menghasilkan shale oil dan kelembapan ekonomi yang dialami oleh negara penyumbang utama ekonomi dunia seperti China dan Jepun telah mengurangkan permintaan terhadap minyak seterusnya menjadi faktor kejatuhan harga minyak dunia.

Keputusan Organisasi Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) yang diwakili oleh Saudi di dalam kenyataan media sebelum ini bahawa mereka tidak akan mengurangkan penghasilan minyak untuk mengembalikan semula harga asal minyak telah memberikan ramalan bahawa harga minyak mentah akan kekal pada kadar yang rendah.

30% daripada pendapatan Malaysia adalah datang daripada sektor minyak.
Di dalam Bajet 2015, diunjurkan bahawa sektor ini bakal menyumbang sejumlah RM 82 billion atau 11.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Akan tetapi apabila berlaku kejatuhan harga minyak dunia secara drastik sebegini, Malaysia dijangka akan mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM 25 billion.

Kelompongan pada pendapatan negara ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh lebihan yang dinikmati melalui penghapusan subsidi petrol sebanyak RM 18 billion.

Kebimbangan timbul terhadap status Imbangan Akaun Semasa negara (trade account/current account). Akaun semasa adalah jumlah baki perdagangan (jumlah eksport – jumlah import barangan dan perkhidmatan). 

Penguncupan lebihan pada akaun semasa (import lebih daripada eksport) akan menunjukkan marginal surplus yang makin mengecil. Dibimbangi sekiranya pendapatan melalui aktiviti eksport minyak mentah kita terjejas akan membawa kepada defisit pada akaun semasa seterusnya menjerumuskan Malaysia ke dalam masalah deficit berkembar (twin-deficit). Ketidakstabilan ini mengurangkan keyakinan dan tarikan terhadap pelabur luar.

2. Polisi dan urustadbir kewangan kerajaan
Sebelum daripada berlakunya kejatuhan harga minyak mentah dunia, ramai penganalisa ekonomi sudah menjangkakan akan berlaku penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia kerana polisi kewangan yang dilihat tidak fleksibel dan kurang mesra pelabur berbanding negara membangun yang menjadi pesaing kepada Malaysia seperti Indonesia dan India.

Malaysia kini dilihat sebagai prospek yang berisiko kepada pelabur; takat hutang awam yang tinggi, peningkatan hutang asing dan penguncupan marginal lebihan akaun semasa telah menjadi antara faktornya.

Pegangan hutang oleh pelabur asing mewakili 45% daripada hutang negara telah meletakkan negara Malaysia berada di dalam posisi yang membimbangkan. Ini berbeza dengan Indonesia yang hanya mempunyai 32.5% sahaja hutangnya daripada luar, begitu juga India dengan hanya serendah 2 %.

3. Kekukuhan dollar Amerika Syarikat (USD) Semenjak daripada tahun lepas, AS telah meningkatkan kadar faedahnya. Menyebabkan berlakunya kemasukan modal (capital inflow) ke dalam negaranya seterusnya mengukuhkan kedudukan USD itu sendiri.
Apakah Langkah Yang Diambil Oleh Kerajaan?

Perdana Menteri kita, Y.A.B Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan kondisi semasa ekonomi Malaysia dan tindakan susulan kerajaan dalam menghadapi kemelut ekonomi ini. Sikap positif dan optimis yang ditunjukkan oleh beliau dalam menanggapi isu ini adalah sesuatu yang saya anggapkan adalah untuk mengelak timbulnya kebimbangan yang melampau di kalangan rakyat dan juga untuk mengelakkan daripada berlakunya krisis keyakinan terhadap kendalian kerajaan. Sikap ini penting supaya, rakyat akan sederap langkah dengan yakin bersama kerajaan dalam mengembleng kudrat memulihkan ekonomi negara kita.

Untuk memudahkan pemahaman pembaca, suka untuk saya rumuskan pelan tindakan kerajaan kepada beberapa isi:

1. Mengembangkan pasaran eksport dan perlancongan
Nilai mata wang yang rendah telah membuka peluang kepada negara kita untuk bersaing di dalam pasaran eksport kerana produk kita menjadi lebih murah berbanding negara yang stabil nilai mata wangnya.

Kerajaan telah menyusun beberapa tindakan untuk memastikan perolehan daripada eksport meningkat seterusnya memastikan Imbangan Akaun Semasa kita sentiasa positif.
Antaranya seperti membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menerokai pasaran luar dengan mempromosikannya kepada 46 buah negara.

Begitu juga meningkatkan kualiti dan capaian tahan logistik dan pengangkutan bagi tujuan perdagangan.

Kerajaan juga, bagi merancakkan kemasukan modal daripada luar telah menyusun beberapa pelan untuk mempromosi sektor perlancongan negara kita. Antaranya seperti menghapuskan caj permohonan visa kepada pelancong luar.

2. Mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import
Barangan import akan menjadi lebih mahal di kala kejatuhan nilai mata wang negara seperti sekarang. Kebergantungan yang tinggi kepada barangan import akan membawa kepada inflasi dan membawa kepada risiko defisit –bekembar.

Justeru, kerajaan telah menyusun beberapa tindakan seperti mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Begitu juga menggalakkan pembelian barangan tempatan di kalangan rakyat dan meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh jualan mega di seluruh Malaysia.

3. Meneruskan pengstrukturan semula pendapatan dan mengkaji perbelanjaan negara
Bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara, kerajaan komited untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi negara melalui mempelbagaikan sumber kewangan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dengan meneruskan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kerajaan juga akan menghentikan sementara Program Latihan Khidmat Negara yang akan membawa kepada penjimatan sebanyak RM 400 juta. Seterusnya, mensasarkan penjimatan sebanyak RM 1.6 billion melalui mengoptimumkan pengurangan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional.

Kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit.

Kerajaan juga akan menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit

Kerajaan tidak mengambil tindakan menghentikan projek mega dan memotong kebanyakan perbelanjaan (austerity) dan menggalakkan rakyat berbelanja melalui penganjuran jualan mega dilihat adalah untuk memastikan kitaran ekonomi terus berjalan dan mengelakkan kelembapan ekonomi disebabkan oleh perlahannya kitaran duit dalam negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak mengambil keputusan untuk meningkatkan kadar bunganya seperti mana negara yang lain kerana ianya akan membebankan rakyat.

Persoalan yang paling utama perlu diamati dan dijawab di dalam menanggapi isu kejatuhan mata wang ini adalah, “Adakah perlu untuk naikkan semula nilai mata wang atau fokus kepada kestabilan ekonomi?”.

Sama-sama kita membantu agar kedua-duanya dapat di pulihkan.

No comments

Powered by Blogger.