Sayu..Luahan Hati Sedih Anak Lelaki Mona Fendy Ini Pasti Membuat Anda Rasa Menitiskan Air Mata..
Sayu…Luahan Hati Sedih Anak Lelaki Mona Fendy Ini Pasti Membuat Anda Rasa Menitiskan Air Mata…
Ini ialah petikan luahan isi hati anak mona fendy:
“SIAPA yang ingin dilahirkan sebagai anak pembunuh? Saya tidak minta dilahirkan sebagai anak Mohd Affandi, tetapi Tuhan sudah menentukan begitu. Saya tidak pernah menyesal dilahirkan ke dunia. Sebagai seorang Islam, saya terima takdir saya.
Yang menyedihkan ialah sikap masyarakat yang tidak faham. Mengapa saya turut dipersalahkan di atas perbuatan ayah dan ibu tiri saya? Adakah semua anak pembunuh turut menjadi pembunuh… penjahat?
Bukan sehari dua saya menghadapi tekanan masyarakat, tetapi sejak zaman kanak-kanak hingga sekarang. Saya diberhenti atau diminta berhenti empat pekerjaan dalam tempoh dua tahun lalu.
Malah, hasrat saya untuk bertunang juga tidak kesampaian apabila keluarga kekasih saya menentang hubungan kami apabila mengetahui saya ada hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey. Saya cukup tertekan kerana hubungan dengan kekasih sangat baik, walaupun dia tahu latar belakang keluarga saya.
Namun sebaik saja memaklumkan kepada keluarganya, mereka tidak dapat menerima saya dan meminta hubungan kami diputuskan.
Bayangkan perasaan ibu saya yang sudah membeli cincin dan memaklumkan kepada saudara-mara supaya bersiap sedia kerana akan menghantar rombongan peminangan, tetapi akhirnya terpaksa menebalkan muka memberitahu majlis itu tidak jadi.
Sebelum itu, ketika di kolej saya pernah bercinta dengan dua gadis, tetapi akhirnya terputus selepas mereka mengetahui saya anak Mohd Affandi dan Mona Fandey.
Derita saya bukan hanya dalam percintaan, malah sukan. Saya mewakili Kelantan dan kini Kuala Lumpur dalam acara taekwando. Dalam satu pertandingan, ada peserta mengundurkan diri dan tidak mahu berlawan dengan saya apabila mengetahui saya anak Mohd Affandi kerana bimbang saya membawa ilmu arwah ayah dan ibu tiri saya.
Betapa malu dan rasa terhinanya saya. Adakah mereka menganggap saya tiada kebolehan? Banyak lagi tekanan masyarakat yang cukup mengguris hati, tetapi apalah daya saya. Saya tidak mampu menemui semua orang dan menceritakan kesedihan dan kisah sebenar saya.
Inilah tujuan utama saya mendedahkan diri dan menceritakan kisah saya kepada Metro Ahad. Saya bukan ingin mencari publisiti. Malah, saya bersedia menghadapi ‘serangan’ keluarga kerana yakin saudara-mara yang membaca kisah ini akan marahkan saya.
Bagaimanapun, saya cuma mahu keadilan. Saya mahu masyarakat faham dan tahu kisah sebenar dan tidak terus menyeksa saya di atas kesalahan yang saya tidak lakukan. Saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti insan lain yang mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri.
Terlalu berat rasanya untuk melangkah mengharungi kehidupan hari ini. Bayangkan kerana wajah saya mirip ayah, saya dipaksa makan pelbagai ubat oleh keluarga bertujuan mengemukkan diri supaya orang tidak cam yang saya anak Mohd Affandi.
Saya cuma mahu masyarakat tahu saya hanya membawa nama ayah, tetapi saya tidak pernah menjadi anak ayah. Saya tidak pernah mendapat kasih sayang ayah kerana arwah (Mohd Affandi) meninggalkan ibu ketika saya dalam kandungan.
Saya tidak pernah tahu siapa ayah saya sehingga saya berusia sembilan tahun apabila ibu memanggil saya dan memberitahu yang ayah saya masih hidup. Ketika itu pun saya hanya melihat wajah arwah di televisyen kerana didakwa atas tuduhan membunuh.
Berikutan terlalu gembira saya sebenarnya ada ayah, saya bercerita kepada rakan di sekolah bahawa Mohd Affandi itu ayah saya. Biasalah sebagai kanak-kanak, kita tidak dapat memikirkan baik dan buruknya.
Akhirnya saya menjadi mangsa cercaan dan yang paling saya tidak dapat bersabar apabila mereka menghina dan sindir saya dengan mengaitkan nama ayah saya.
Kata-kata yang paling saya tidak dapat dengar dan terima ialah “engkau nak jadi macam bapa engkau. Bapa engkau pembunuh.” Kata-kata itu menyebabkan saya menjadi ‘panas hati’ dan selalu bergaduh.
Sebab itu saya belajar taekawondo ketika berusia 12 tahun. Saya menjadikan gelanggang taekwondo sebagai tempat melepaskan geram dan perasaan marah hingga memperoleh tali pinggang hitam.
Kali pertama saya berjumpa arwah ayah di Penjara Kajang ketika berusia 16 tahun. Bukan seperti kanak-kanak dan remaja lain yang membesar dengan kasih sayang ayah mereka, bayangkan saya berjumpa ayah kandung buat kali pertama di penjara.

Sebaik saya memasuki bilik perjumpaan tahanan dengan waris dan mengangkat telefon, ayah memanggil nama saya. Saya terkejut kerana walaupun tidak pernah berjumpa, ayah mengenali saya.
Pada pertemuan itu, ayah hanya bertanya khabar dan perkembangan saya. Pesanan ayah saya ingat hingga ke hari ini iaitu supaya jangan setakat belajar taekwondo, belajar juga silat.
Selepas itu, saya sering mengutus surat kepada ayah dan pernah berjumpanya dua kali sebelum saya menerima berita ayah akan dihukum gantung keesokannya (2 November 2001). Sebenarnya keluarga saya mengetahui tarikh hukuman itu seminggu lebih awal, tetapi merahsiakannya dan hanya memaklumkan kepada saya pada hari terakhir.
Saya dan keluarga bertolak dari Pantai Cahaya Bulan (Kelantan) ke Penjara Kajang pada 1 November 2001. Seingat saya, kami bertolak menaiki empat kenderaan. Sejurus tiba pada hari sama, ayah mahu berjumpa saya bersendirian manakala yang lain tidak dibenarkan masuk.
Saya di dalam bilik selama tiga jam bersama ayah. Itu kali pertama kami bersentuhan kerana sebelum itu kami dipisahkan oleh dinding kaca dan hanya berbual menerusi telefon.
Saya masih ingat kata-kata ayah yang mengaku dia tidak bersalah. Menurutnya, dia tidak membunuh Datuk Mazlan (Idris), sebaliknya semua itu angkara Mona dan Juraimi Husin. Bagaimanapun, arwah berkata dia menerima takdirnya.
Saya difahamkan oleh petugas penjara, ayah berpuasa selama tiga tahun secara berterusan sehingga hari kematiannya.
Saya tidak tahu adakah ayah berpuasa kerana insaf di atas apa yang berlaku. Saya tidak berhak memberi pandangan dan andaian kerana itu antara ayah dan Allah SWT.
Yang pasti, ayah sudah menerima balasannya. Yang menghairankan ialah, mengapa masyarakat masih menghukum zuriatnya yang tidak tahu menahu mengenai kejadian (pembunuhan Mazlan) yang berlaku.
Kami semuanya tiga beradik (daripada zuriat Mohd Affandi). Abang saya berusia 27 tahun adalah anak hasil perkahwinan pertama manakala adik perempuan saya, Mazdiana, kini 18 tahun, adalah anak hasil perkongsian hidup dengan Mona.
Setiap kami mempunyai pengalaman sedih. Bagaimanapun, antara ketiga-tiga anak ayah, saya seorang yang berjaya disembunyikan daripada media hinggalah hari pengebumian ayah.
Sejak itu hidup saya berubah. Saya tidak tahu bila derita saya akan berakhir, tetapi saya tidak berhenti berdoa.
Kepada masyarakat yang membaca kisah saya, saya hanya berharap mereka faham, saya juga ciptaan Allah yang ingin melalui kehidupan dengan penuh ketenangan.
No comments