HAJI HADI MAHU NAJIB KEKAL SEBAGAI PERDANA MENTERI
Presiden PAS Malaysia, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang merangkap Ahli Parliman Marang menyarankan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar tidak tunduk kepada tekanan yang menggesa beliau supaya meletak jawatan, sebaliknya perlu memberi fokus untuk menyelesaikan beberapa isu yang dikaitkan dengan kelemahan pentadbirannya ketika ini.
Beliau berkata Perdana Menteri sebelum ini juga dikaitkan dengan pelbagai isu ketika era pentadbiran masing-masing termasuk Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan turut didesak meletak jawatan, sedangkan ia bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.
“Masalah yang sama berterusan setiap Perdana Menteri dan jika letak jawatan, nanti orang baru akan timbul masalah yang baru pula. Ini satu budaya politik yang tidak sihat.
“Sebab itu sepatutnya kita bukan tukar orang (pemimpin), sebaliknya jika salah dasar dan pendekatan kita kena baiki pendekatan dan selesaikan masalah bukan tukar orang, perangai lama juga, masalah yang sama juga berulan".
"Jadi ini suatu budaya politik yang memalukan, sepatutnya kita mengamalkan demokrasi yang sihat, yang sebaik-baiknya ,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Dr Mahathir agar Najib meletak jawatan ekoran pendedahan beberapa isu berkait kelemahan kepimpinan beliau ketika ini.-
Malah, ADUN Rhu Rendang itu juga menegaskan Najib perlu diberi ruang dan peluang yang cukup untuk memimpin negara sehingga berakhir tempoh pemerintahannya dan terpulang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka mahukan ketika Pilihan Raya Umum .
“Biar (Najib) selesaikan masalah dia, kalau ada silap kena betulkan, perlu ambil tanggungjawab, jangan kita cuba menggali `lubang’ antara satu sama lain. Saya tidak tahulah sama ada sengaja gali lubang atau membuat lubang sendiri, itu kena ubah pendekatan lama kepada cara yang lebih baik,” katanya.
Beliau juga meminta supaya semua pihak mengamalkan demokrasi dan terpulang kepada rakyat untuk menghukum parti (ketika PRU) dan bukan menghukum individu (pemimpin).
Ditanya sama ada tindakan PAS yang mahu Najib meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sebagai usaha pembangkang mengambil kesempatan terhadap isu yang sedang melanda, Abdul Hadi berkata PAS perlu mengkritik kelemahan pentadbiran sedia ada demi kebaikan semua pihak.
“Jika kita nampak kelemahan ini, kita perlu sebut dan lebih berbentuk menasihati secara islah untuk menyelesaikan masalah yang ada,” katanya.
No comments