Perlu Penjelasan Isu Tabung Haji - Jo Bakar
Mohd Johari Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO Terengganu |
KUALA TERENGGANU – Pemuda Umno Terengganu berterima kasih kepada individu yang membocorkan maklumat sulit tentang pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji (TH) bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange.
Ketuanya, Mohd Johari Abu Bakar berkata, jika bukan kerana individu tersebut, rakyat khususnya para pendeposit TH tidak akan tahu tentang pembelian sebidang tanah tersebut yang kini menimbulkan rasa tidak puas hati semua pihak.
Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak pengurusan TH memberi jawapan segera dan konkrit bagi meredakan kemarahan rakyat terutama pendeposit TH kerana mereka berhak mengetahui bagaimana wang mereka depositkan dilabur.
“Kami amat faham bahawa TH perlu membuat perlaburan dalam sektor hartanah bagi membolehkan para pendeposit TH mendapat pulangan dalam bentuk dividen. Apa yang menjadi persoalan sekarang adakah pembelian ini adalah satu strategi menyelamatkan 1MDB?.
“Ini adalah kerana tanah ni di jual oleh Kerajaan Pusat kepada 1MDB dengan harga RM 60 sekaki tetapi di jual pula kepada TH dengan harga RM 2860 sekaki,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.
Dengan pelbagai isu dan persoalan yang timbul sekarang, Mohd Johari berkata, Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertindak segera memperjelas dan menyelesaikan beberapa perkara supaya ia tidak terus menjadi persoalan kepada rakyat.
Perkara tersebut melibatkan isu tekanan kos sara hidup akibat kegagalan pengurusan kawalan harga barang, polemik isu pengurusan 1MDB, perumahan generasi kedua Felda serta isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Pendirian Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, jelas bahawa YAB Presiden perlu bertindak segera bagi memperjelaskan dan menyelesaikan perkara-perkara ini kepada rakyat agar ia tidak lagi menjadi persoalan.
“Jika perlu distruktur semula apa pun organisasi yang menjadi tumpuan ketika ini, jika perlu disegerakan apa pun penyiasatan atau proses audit, YAB Presiden perlu bertindak sekarang,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pihaknya turut dihujani dengan isu-isu sedemikian yang menjadi keluhan dan keresahan akar umbi.
Sebagai sayap muda dalam parti, Mohd Johari berkata pihaknya turut memerlukan penjelasan sebagai wakil Umno di peringkat tersebut untuk memastikan Umno terus kekal relevan.
Mengulas lanjut, isu-isu yang menjadi persoalan ketika ini melibatkan soal integriti kepimpinan, kepercayaan dan sokongan rakyat kepada Umno dan kerajaan.
Jelasnya, tiada maknanya segala dasar baik yang dijuarai Umno hanya dilihat rakyat sebagai liabiliti dan menjadi polemik dalam pentadbiran negara.
Sehubungan itu, pihaknya turut berharap satu penyelesaian konkrit dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
“Kami percaya sebagai bapa, YAB Presiden tidak akan terus menerus membiarkan semua ini berterusan dan bertindak sebaiknya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno dan kerajaan BN,” katanya.
No comments