Kerajaan Negeri Prihatin Masa Depan Rakyat Sejak Bayi- Ibu Bapa

teganukita.my

AUTHOR:  29 JULY 2015 10:51 AM0 COMMENTSVIEWS: 73
SYA_1007
Skim Simpanan Pendidikan Nasional  (SSPN-i) kepada bayi yang lahir bermula 1 Januari 2015 yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu disambut baik dan menggembirakan golongan ibu bapa terutama pemohon yang berjaya menerima sumbangan itu.
Seorang ibu, Nur Nadiatul Naim, 22, dari Kampung Alor Limbat, berkata skim yang pertama kali dilaksanakan itu sangat memberi manfaat kepada ibu bapa dan anak pada masa depan terutama untuk pendidikan mereka kelak.
“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang melaksanakan program sebegini. Ia sangat bagus sebagai persediaan kita untuk memastikan anak mempunyai tabungan dalam pelajaran sejak kecil lagi.
“Saya harap perkara baik sebegini yang tidak dibuat di mana-mana negeri akan berterusan dan dimanfaatkan oleh semua ibu bapa demi masa depan anak-anak kita juga,”katanya yang ditemani suami, Muhammad Muslim Mohd Razid, 25 dan bayi sulung mereka, Muhammad Adam Mukhriz, tiga bulan.
Pasangan itu antara ibu bapa kepada 1,200 bayi bertuah dari Terengganu yang dilahirkan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini yang menerima sumbangan SSPN-i .
Mereka  diraikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To’ Puan Seri Halina Zakaria di Majlis Pelancaran Program Sumbangan SSPN-i Kepada Bayi Lahir Tahun 2015, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa.
SYA_1026
Bagi seorang lagi bapa, Rozaidi Mohamad, 34, yang bekerja sebagai mekanik dari Kampung Seberang Takir, SSPN-i itu membuktikan kerajaan negeri sangat prihatin kepada keperluan golongan yang tidak berkemampuan sepertinya dalam usaha memastikan kehidupan yang lebih terjamin pada masa depan.
“Syukur Alhamdulillah, anak keempat saya dan isteri, Mastura Manaf, 35, Muhammad Adam Hakim yang baru berusia enam bulan,  berpeluang menikmati sumbangan daripada kerajaan negeri dan kami akan memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin. 
“Terima kasih kerajaan kerana sebab cakna dan saya harap sangat perkara baik sebegini diteruskan pada tahun-tahun akan datang supaya lebih ramai rakyat Terengganu dapat menikmati faedah daripada skim simpanan pendidikan sejak usia bayi ini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.