Razif Ditipu Atau Tertipu??



Rajin betul seorang penulis blog memberikan huraian panjang mengenai sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan hubungan kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu. Blog tersebut di dalam artikelnya mempersoalkan bagaimana individu dari sebuah syarikat kontroversi boleh mendapat kepercayaan penuh daripada Menteri Besar Terenggganu, Ahmad Razif Abd Rahman.

Blog tersebut juga mendakwa kononnya syarikat tersebut telah diberikan peranan utama oleh kerajaan negeri untuk menarik kedatangan pelancong China dan negara Asean sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT 2017).

Ingin saya mengucapkan tahniah di atas kesungguhan blogger tersebut dalam mendapatkan info mengenai syarikat tersebut yang dikatakan terpalit dengan pelbagai isu kontroversi.

Walaubagaimanapun takziah kerana gagal dalam cubaan menghasut dengan memberikan gambaran yang menyeleweng daripada perkara yang sebenar.

Disebalik pendedahan panjang yang dibuat oleh blogger tersebut mengenai individu dan syarikat itu di dalam artikelnya, saya melihat tanggapan yang diberikan oleh penulis blog ini dalam cubaan mengaitkan pihak tersebut dengan kerajaan negeri sekaligus mencipta persepsi buruk terhadap kepimpinan kerajaan  yang diterajui oleh Ahmad Razif meleset sama sekali.

Artikel dalam blog tersebut merujuk kepada majlis pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017 yang telah diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak 2 Januari lalu yang meraikan kedatangan beberapa pelancong dari China dan negara ASEAN.

 Hanya kerana majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu bersama wakil pelancong dari negara tersebut, ini tidak bermakna kerajaan negeri Terengganu mempunyai apa-apa ikatan atau perjanjian dengan kumpulan syarikat itu.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada blogger tersebut kerana telah memberikan pautan rujukan dari laman web NST supaya saya boleh memahami sejauh manakah kebenaran dakwaan blogger tersebut di dalam artikelnya.

Di dalam laman web NST, artikel berita yang ditulis dalam satu perenggan dengan jelas menyatakan (diterjemah),

“Didalam sebuah majlis meraikan kehadiran pelancong yang dianjurkan oleh Forte Hospitality Management Sdn Bhd;   Monspace Group telah memperlihatkan komitmen kepada kerajaan negeri Terengganu (untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini) dan bersependapat melihat kemungkinan bagi mengatur penerbangan yang ditempah terus dari China, Asean,  Timur Tengah dan Afrika Utara.”

Persoalannya, apakah yang menjadi masalah jika sekiranya Monspace Group berminat untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri Terengganu kepada pelancong-pelancong asing dari luar negara? Saya melihat syarikat ini hanya bertindak tidak lebih dari sebuah agensi pelancongan yang berminat menjadikan Terengganu sebagai salah satu diantara pakej destinasi yang ditawarkan oleh mereka sendiri.

Kerajaan negeri Terengganu juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan mana-mana kumpulan pelancong dari luar negara yang dapat mengembangkan sektor pelancongan di Terengganu dan membawa manfaat kepada pengusaha industri kecil dan golongan usahawan perniagaan di sini. Ini secara tidak langsung turut dapat mempromosikan negeri Terengganu secara antarabangsa. Jadi saya lihat, meraikan wakil serta pelancong-pelancong yang membawa pelaburan kepada sektor ini tidak bermaksud menjalinkan sebarang kerjasama perniagaan dengan pihak tersebut.

Mengulas 'tagline' The Monspace Visit Terengganu Year 2017 yang dibangkitkan..., apa yang nak dihairankan dengan orang bisnes, saya ambil skop kecil sebagai contoh. Buat carian di Google berkenaan Pulau Perhentian, maka berbondong bondonglah laman web dari agensi-agensi pelancongan yang menggunakan nama dan tagline Pulau Perhentian bagi menjual pakej-pakej yang ditawarkan oleh mereka. Mengapa pula kerajaan perlu sumbangkan atau peruntukan sesuatu kepada player dalam sektor pelancongan yang sememangnya memperoleh keuntungan dari industri itu?

Jika saya sendiri berminat untuk mempromosikan Terengganu, besar kemungkinan saya juga akan meletakkan nama saya beserta tagline tersebut bagi kemudahan saya menjual pakej-pakej pelancongan di negeri ini. Malah sebuah bonus pula bagi saya jika usaha saya membawa sejumlah pelancong ke sini diiktiraf dan diraikan pula oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Itu sudah pasti dapat meningkatkan kredibiliti perniagaan saya di mata pelanggan-pelanggan saya pada masa akan datang.  

Penulisan yang tiada integriti layaknya dilabel sebagai penulisan sampah...Dalam cubaan bagi membina persepsi buruk kepada kerajaan negeri Terengganu, penulis blog ini sendiri  telah mempamerkan sikap yang tidak berintegriti dalam penulisannya. Ini kerana tidak pula dia menyatakan di dalam artikel tersebut sekiranya terdapat MOU atau sebarang bentuk perjanjian yang telah direkod diantara kerajaan negeri dengan syarikat tersebut bagi mengukuhkan tuduhannya mengenai kerjasama yang kononnya telah dibuat. Yang ni tak ada pula dia gigih nak semak atau cari info... - Team Bakor

No comments

Powered by Blogger.