VIDEO :: Tanah Runtuh Lebuh Raya KARAK - KUALA LUMPUR

Tanah runtuh di Lebuhraya KL-Karak
Satu kejadian tanah runtuh berlaku di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi. - Foto Twitter @Zul__Fadli
KUALA LUMPUR: Satu kejadian tanah runtuh berlaku di KM52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi petang tadi.

Menurut laporan awal akaun Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (@LLMinfotrafik), kesemua laluan terhalang dan trafik di kedua-dua arah sesak.

Tambahnya, pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dari Kuantan keluar ke Persimpangan Bentong manakala dari Kuala Lumpur keluar ke Persimpangan Genting Sempah.





Dalam pada itu Bernama melaporkan pengendali lebuh raya terbabit, Anih Berhad dalam satu kenyataan berkata laluan di kedua-dua arah ditutup sebagai langkah keselamatan dengan keadaan cuaca dilaporkan masih hujan.

Pengguna dari arah Kuala Lumpur diminta supaya menggunakan jalan alternatif laluan dalam di Bukit Tinggi atau Kawasan Rehat Lentang, manakala pengguna dari arah Kuantan boleh menggunakan jalan dalam dari Bentong Timur.

Turut dilaporkan, Ketua Polis Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor mengesahkan kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.

"Kerja pembersihan telah dimulakan pada jam 8 malam," katanya.

Sementara itu menurut laporan The Star, terdapat beberapa kereta tertimbus di dalam kejadian itu.

“Saya baru sahaja bercakap dengan beberapa pegawai, terdapat beberapa buah kereta tertimbus di bawah tanah runtuh,” kata ketua bahagian trafik Kumpulan Media Radio Star, Priscilla Patrick.
Kesan runtuhan dijangka tidak akan dapat dibersihkan malam ni, tambahnya lagi.

No comments

Powered by Blogger.