Pertembungan suku akhir pertama Piala FA malam ini menyaksikan
ketiga-tiga tuan rumah mempunyai bekalan gol untuk bertandang ke
gelanggang lawan pada pertemuan kedua nanti.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, jaringan Paulo Rangel
menerusi sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan menjadi
penyelamat Terengganu daripada tewas di gelanggang sendiri.
Pada pertemuan malam ini, Perak terlebih dahulu membolosi gawang tuan
rumah berikutan kesilapan pemain pertahanan yang gagal mengeluarkan bola
dari kawasan bahaya ekoran asakan pemain import Perak Woong Namkung
pada minit ke-45, yang menyebabkan Zubir Azmi tertendang bola ke gawang
sendiri.
Manakala di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, tuan rumah Sime Darby seri 1-1 dengan pasukan pelawat dari Pantai Timur, Kelantan.
Perlawanan ini menyaksikan pertemuan ulangan final Piala FA 2012.
Anak buah Ismail Zakaria mempamerkan aksi cemerlang menerusi beberapa
percubaan pemain import Nemanja Vidakovic dari Serbia yang hampir
membolosi gawang pelawat namun Khairul Fahmi Che Mat tangkas menepis
serangan lawan.
Pada minit ke-36, Kelantan mendapat peluang keemasan menerusi sepakan
percuma namun disia-siakan ketua pasukan Badhri Radzi atau Piya apabila
sepakannya melencong melewati palang gol.
Kesilapan pertahanan tuan rumah akhirnya dihukum pada minit ke-45
selepas tandukan ke belakang Halim Zainal yang gagal dibaca Juzaili
Samion berjaya dihidu pemain import Kelantan Erwin Carillo dari Colombia
yang menyempurnakan rembatan ke arah gawang Sime Darby.
Tersentak dari gol pendahulu skuad bimbingan jurulatih Azrai Khor
Abdullah itu, Sime Darby bangkit menyamakan kedudukan menerusi Vidakovic
yang menyempurnakan hantaran lintang dari Fahrul Razi Kamaruddin
sebelum wisel penamat dibunyikan.
Sebaik pengadil Mohd Nafeez Abdul Wahab meniup wisel memulakan babak
kedua perlawanan, kedua-dua pasukan tidak melengahkan masa cuba mengatur
serangan mencari gol tambahan sebagai bekalan pusingan kedua.
Pada minit ke-70, tuan rumah hampir mendahului pasukan The Red Warrior
menerusi sepakan pemain import Marko Perovic namun sekali lagi palang
menjadi penyelamat kepada gol Kelantan.
Pada minit terakhir, Mohd Noor Hazrul Mustafa hampir membawa pulang
bekalan selesa kepada The Red Warrior namun sepakan percumanya tersasar
ke kiri gawang Suffian Abdul Rahman.
Sementara itu, juara bertahan Pahang menceriakan penyokong tuan rumah
apabila menundukkan pendahulu Liga Perdana Pulau Pinang 2-0 dalam
perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur.
Skuad Tok Gajah mula menunjukkan penguasaan dengan jaringan pembukaan
pada minit kesembilan hasil rembatan deras Mohd Hafiz Kamal dari luar
kotak penalti bagi menembusi gawang yang dikawal oleh Mohd Remezey Nawi.
Tuan rumah kemudian berjaya melengkapkan jaringan kedua lima minit
kemudian hasil ledakan Dickson Nwakaeme untuk mencatat keputusan yang
berkesudahan Pahang 2 Pulau Pinang 0.
Pada perlawanan suku akhir kedua, Kelantan menanti kunjungan Sime Darby
di Stadium Sultan Muhammad IV manakala Perak akan berdepan Terengganu -
kedua-dua perlawanan berlangsung pada 21 April.
Pada 22 April pula Pulau Pinang menerima kunjungan Pahang dan Johor Darul Takzim II menanti Singapore Lions XII.

No comments:
Post a Comment